LATAR BELAKANG

Sekolah ini terletak dalam kawasan Kompleks Sultan Abu Bakar di Kampung Bukit Kucing, Mukim Tanjung Kupang. Jaraknya kira-kira 8 km daripada pekan Gelang Patah dan 40 km daripada bandar Johor Bahru. SMK Kompleks Sultan Abu Bakar telah memulakan operasinya  pada 2 Januari 1999 di mana Mesyuarat Guru Kali Pertama telah diadakan dan pada 3 Januari 1999, pendaftaran pelajar telah dilaksanakan. Sesi persekolahan 1999 telah dimulakan pada 4 Januari 1999 dengan menumpang di SK Kompleks Sultan Abu Bakar disebabkan kemudahan elektrik dan air masih belum ada. Bermula dengan seramai 13 orang guru, seorang PAR dan seramai 127 murid yang terdiri daripada murid-murid tingkatan 1 hingga 4.

Pada 22 Februari 1999, semua keluarga SMKKSAB telah berpindah ke bangunan sendiri. Memandangkan fungsi PIBG amat penting dalam membantu meningkatkan prestasi sekolah, maka pada 10 April 1999, Mesyuarat Penubuhan PIBG SMKKSAB telah diadakan dan dirasmikan oleh YB Tuan Haji Baharom bin Abd. Ghani, ADUN Tanjung Kupang. 

Dalam majlis ini, YB Tuan Haji Baharom telah melancarkan logo sekolah yang telah dicipta oleh En. Ali Mustaffa bin Othman, Penolong Kanan HEM SMKKSAB. Selain daripada itu, YB Tuan Haji Baharom juga telah melancarkan program “ Satu buku satu keluarga” yang bertujuan untuk mendapatkan sumbangan buku daripada ibu bapa sekurang-kurangnya sebuah buku satu keluarga. YB juga telah melancarkan Buletin SMKKSAB yang pertama dalam majlis yang diadakan.

Pada tahun 1999, SMKKSAB telah mencipta sejarah di mana murid-murid tingkatan tiganya telah menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah kali pertama dan telah melahirkan seorang murid dengan keputusan 8A iaitu adik Rhonira binti Lateh. Bagi PMR, sekolah ini telah dianugerahkan “Sekolah Harian Luar Bandar Terbaik PMR Negeri Johor” dan berturut-turut menjadi Sekolah Harian Luar Bandar Terbaik PMR Daerah Johor Bahru bagi tahun 2005, 2006, 2007, 2008,  2009 dan 2010. Pada tahun 2002 sekolah ini juga telah mencipta sejarah memperolehi 100% dalam peperiksaan SPM dan menjadi salah sebuah sekolah terbaik luar bandar di negeri Johor. Kejayaan ini telah diulangi lagi dalam peperiksaan SPM 2003, 2004, 2005, 2007, 2008, 2009 dan 2010.

Dalam bidang kokurikulum, pada tahun 2005 sekolah telah mencatat sejarah dengan menyertai pertandingan silat peringkat kebangsaan dan menjadi Johan bagi kategori seni masal puteri.  Pada tahun 2006 pula pasukan muzik pengiring silat telah mendapat Naib Johan peringkat kebangsaan. Pada tahun 2009 pasukan silat sekolah telah berjaya meraih Naib Johan Peringkat daerah dan negeri seterusnya mewakili negeri Johor ke peringkat kebangsaan. Beberapa orang peserta pasukan silat telah menyertai persembahan Malam Apresiasi Seni di Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar Johor Bahru. Dalam bidang olahraga, seorang pelajar ( kategori L 15 ) telah terpilih mewakili daerah Johor Bahru ke MSSJ di Kluang. Pasukan pelajar perempuan sekolah pula telah berjaya meraih tempat Naib Johan di pertandingan “paint ball” daerah Johor Bahru. Tahun 2010 menyaksikan  peningkatan bidang olahraga dengan pencapaian tiga pingat emas, satu pingat perak dan dua pingat gangsa diperingkat MSSJ.

Pada 6 Jun 2006 Mesyuarat Agung penubuhan Koperasi SMK. Kompleks Sultan Abu Bakar Gelang Patah Berhad telah diadakan dan mendapat kelulusan daripada Jabatan Pembangunan Koperasi pada 3 Oktober 2006. Pada tahun 2007 sekolah ini telah menerima anugerah Hari Q PPD Johor Bahru .Pihak sekolah juga telah mendapat tempat ke-3 bagi pengurusan kewangan peringkat negeri Johor pada tahun 2008. Pada  bulan November  2009, selari dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dalam bidang pendidikan, sebuah kafe siber  telah ditubuhkan . Ia kini beroperasi dengan 7 buah komputer dengan kemudahan capaian  internet.




Logo Sekolah
 




Bentuk  :Bentuk bulat melambangkan global pendidikan
             Lambang (Motarboard):Melambangkan wawasan sekolah untuk mencapai kecemerlangan akademik
         Bentuk Glob:Melambangkan pendidikan bertaraf dunia
         SMKKSAB:Bermaksud SMK Kompleks Sultan Abu Bakar
         Bentuk Gear,    
         Lambang Sains
:Melambangkan sains dan teknologi
         Buku Terbuka:Melambangkan ilmu yang diterapkan kepada warga sekolah
         Warna Merah:Semangat juang untuk menempa kecemerlangan
        Warna Biru:Kecemerlangan dan kedaulatan negara
        Warna Kuning:Keamanan dan kedamaian 
        Warna Hijau:Warga sekolah yang mengamalkan nilai-nilai murni




1 comment: